EKONOMI

Ringgit Dalam Hala Tuju Tepat Meskipun Berdepan Perang Perdagangan AS - Gabenor BNM

18/02/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pergerakan ringgit berada dalam hala tuju yang tepat meskipun berada dalam persekitaran ketidaktentuan akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS), kata gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau menekankan bahawa asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan prospek positif adalah faktor utama yang menyokong ringgit.

“Ringgit sedang menuju ke arah yang tepat. Memandangkan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil, ini seharusnya memberi impak yang positif kepada ringgit.

“Dengan mengambil kira asas ekonomi dan prospek yang kukuh, saya percaya faktor-faktor ini semuanya positif untuk ringgit,” katanya semasa sesi panel bertajuk ‘Reimagining Trade and Global Supply Chains for a Resilient Future’ di China Conference: Southeast Asia 2025 di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata demikian ketika ditanya mengenai prospek nilai ringgit menjelang akhir tahun, walaupun terdapat ketidaktentuan akibat perang dagang AS.

Beliau bagaimanapun berkata BNM tidak meletakkan sebarang sasaran untuk ringgit disebabkan pergerakannya yang turun naik pada tahun lepas dan ketika ini.

“Apa yang lebih penting ialah peranan utama kami untuk memastikan tiada (pergerakan) turun naik berlebihan yang boleh menjejaskan keputusan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa tiga bidang utama yang akan meningkatkan lagi integrasi ASEAN iaitu memajukan sistem kewangan ASEAN, membina rantaian bekalan yang berdaya tahan, dan mengukuhkan daya tahan terhadap risiko iklim.

“Ini antara cara kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi ASEAN. Bagaimanakah untuk kita mencapainya? Sebagai contoh, ASEAN adalah antara rantau yang paling terdedah kepada perubahan iklim, menyumbang lebih 50 peratus daripada kerugian ekonomi global akibat bencana.

 “Oleh itu, walaupun terdapat perubahan dasar global baru-baru ini, menangani risiko iklim tetap kritikal untuk memastikan ketahanan rantaian bekalan di ASEAN,” katanya.

Abdul Rasheed turut menegaskan bahawa ASEAN mempunyai pengetahuan dan alat untuk mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan, terutamanya melalui tiga inisiatif utama. Ini termasuk menggerakkan lebih banyak pembiayaan untuk usaha penyesuaian iklim dan pengurangan karbon.

“Dari segi jurang pembiayaan, kita berdepan jurang pembiayaan tahunan kira-kira US$100 bilion. Pasaran Bon Hijau ASEAN+3 meningkat sebanyak 30 peratus pada 2023, manakala Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN telah menggerakkan kira-kira US$1 bilion untuk infrastruktur sokongan iklim,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa ASEAN perlu melabur dalam infrastruktur yang mampu menahan kejutan iklim memandangkan bencana banjir sahaja boleh menelan kos lebih daripada US$20 bilion kepada ekonomi ASEAN.

Negara ASEAN juga harus segera beralih kepada tenaga bersih untuk mengurangkan pelepasan karbon, katanya.

 "ASEAN sebenarnya memerlukan kira-kira 50 peratus bahagian tenaga boleh baharu dalam kapasitinya menjelang 2040,” katanya sambil menambah untuk memastikan masa depan rendah karbon, ASEAN perlu mengutamakan kejayaan projek ASEAN Power Grid, yang bertujuan untuk mengembangkan perdagangan tenaga merentas sempadan.

Abdul Rasheed berkata bahawa dalam ASEAN, bank pusat serantau serta BNM juga bekerjasama termasuk dalam Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan