AM

Perlu Ada Jawatankuasa Selaras Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Luar Negara

18/02/2025 11:04 PM

SEPANG, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan disaran mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa untuk menyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melaksanakan misi bantuan kemanusian di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata penubuhan itu untuk mengawal selia misi kemanusian yang akan memudahkan gerak kerja NGO serta memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan terhadap sumbangan yang diberikan rakyat Malaysia.

"Buat masa ini misi bantuan daripada NGO di Malaysia kebanyakan bersifat ad hoc dan kurang teratur yang memerlukan kita mencari kaedah agar perkara ini boleh dipermudah dan diselaraskan.

"Jika ini diselaraskan dengan baik, kita tahu tidak akan berlaku ketirisan kerana ia diselaraskan oleh kerajaan dan ini juga akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk memberi sumbangan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan Misi Kemanusian Bina Semula Syria oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Misi bantuan berkenaan dilaksanakan Serantau Muslim yang juga Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) membantu rakyat Syria membina semula kehidupan selepas konflik melanda negara itu.

Misi diketuai Pengerusi Serantau Muslim Kapten Bersekutu (PA) Mohd Hakim Mohd Nor itu akan menyalurkan bantuan makanan, melaksanakan program sokongan psikologi serta membincangkan pembangunan komuniti wakaf Malaysia.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan