BANGI, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan ‘Perangi Stigma’ sebagai inisiatif untuk mendidik masyarakat mengubah persepsi negatif berkaitan kesihatan mental ke arah yang lebih positif.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha itu dilaksanakan melalui ‘Kempen Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua’ untuk meningkatkan tahap literasi masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Berucap merasmikan Konvensyen Kesihatan Mental 2025 di sini hari ini, beliau berkata banyak mitos dan salah faham terhadap penyakit mental masih berleluasa.
“Ada yang menganggap pesakit mental sebagai individu yang lemah, tidak kuat iman atau sekadar mencari perhatian.
“Stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental menyebabkan individu yang menghidapinya enggan, segan atau lewat mendapatkan bantuan profesional yang mereka perlukan. Persepsi ini harus segera diubah agar lebih ramai tampil mendapatkan rawatan yang sepatutnya mereka terima,” katanya.
Beliau berkata data menunjukkan isu kesihatan mental menyumbang kepada kehilangan produktiviti ekonomi global mencecah USD1 trilion (RM4.4 trilion) setiap tahun akibat ketidakhadiran kerja dan pengurangan keberkesanan tenaga kerja.
“Oleh itu, pelaburan dalam kesihatan mental bukan hanya satu keperluan sosial tetapi juga satu keputusan ekonomi yang bijak,” katanya.
Beliau berkata dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM24.6 juta bagi memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, termasuk memperluaskan akses kepada rawatan psikologi dan meningkatkan kapasiti Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata di Malaysia, senario peningkatan beban masalah kesihatan mental membimbangkan dan menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.
Selain itu, data juga menunjukkan peningkatan dua kali ganda isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dari 424,000 orang pada 2019 kepada 922,000 orang pada 2023.
“Situasi ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Inilah sebabnya saya sering menekankan keperluan pendekatan seluruh negara dan pendekatan seluruh masyarakat bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial