POLITIK

PRK Dun Ayer Kuning: UMNO Perak Optimis, Namun Tidak Pandang Mudah Pihak Lawan

25/02/2025 12:55 AM

IPOH, 24 Feb (Bernama) -- UMNO Perak tidak memandang mudah keupayaan mana-mana pihak lawan, namun akan memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning terus kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tumpuan akan terarah untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi baharu di kawasan DUN berkenaan.

“Di atas kertas sepatutnya ia beri kemenangan besar kepada calon Kerajaan MADANI. Ini kerana jika kita ambil perkiraan mudah, pada pilihan raya lepas, BN memperoleh lebih 9,000 undi manakala PH (Pakatan Harapan) sekitar 6,000 undi.

“Jika ditambah, bermakna kita ada 15,000 undi melalui kedua-dua gabungan. Namun, kita tak boleh pandang mudah sebab perkara seumpama ini sifatnya dinamik. Usaha perlu diteruskan untuk berjumpa dan menemui pengundi terutama pengundi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Terdahulu, Saarani memaklumkan UMNO Perak sudah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, Sabtu lepas.

Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Georgetown. 

Sehubungan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning perlu diadakan kerana penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.

​​​Saarani berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama pimpinan PH bagi memastikan gerak kerja dapat berjalan dengan lancar.

“Ya, dari segi penyusunan itu pastilah BN akan mencari undi-undi penyokong BN yang asal dan PH akan berusaha turun padang untuk mencari sokongan pengundi mereka.

“Ini kolaborasi yang dibuat kedua-dua pihak sebelum ini seperti di (PRK) DUN Pelangai (Pahang) dan (PRK DUN) Mahkota (Johor),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan