AM

KKM Teliti Gabung Fungsi Penguatkuasaan Kesihatan Awam Dan Penjajaran Jawatan PKP/PPKP

25/02/2025 01:06 AM

BANGI, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti cadangan untuk menggabungkan fungsi penguatkuasaan kesihatan awam serta penjajaran jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan Penguat Kuasa Kesihatan Awam di sini hari ini, Dzulkefly berkata cadangan itu telah dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) kepada pihaknya.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa perkara ini sedang diteliti secara mendalam, bukan sekadar untuk memenuhi permintaan, tetapi untuk memastikan sistem penguatkuasaan kita lebih berkesan, lestari dan sejajar dengan keperluan semasa," katanya.

Turut hadir pada majlis makan malam itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)  Datuk Dr Norhayati Rusli dan Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat.

Dzulkefly juga berkata beliau akan meneliti semula cadangan untuk menjadikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia sebagai acara rasmi dalam takwim tahunan KKM.

"Saya difahamkan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia pada setiap 26 Sept, telah pun diiktiraf oleh KKM pada 2016, tetapi ia masih belum dijadikan acara rasmi dalam takwim tahunan KKM.

"Saya akan meneliti semula cadangan ini agar peranan penting penguat kuasa kesihatan awam dalam menjaga kesejahteraan masyarakat diberikan pengiktirafan yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui media berkata penggabungan fungsi penguatkuasaan kesihatan awam serta penjajaran jawatan PKP dan PPKP,  akan memberi pengiktirafan kepakaran dan laluan kerjaya yang baik kepada penguat kuasa di KKM.

"Ia juga dapat memperkasakan lagi sektor kesihatan awam dan memberi kesan positif dalam sistem penyampaian penguatkuasaan kesihatan kepada rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan