AM

Kadar Kebolehpasaran Graduan TVET Cecah 94.5 Peratus - Ahmad Zahid

19/02/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara purata kini mencecah 94.5 peratus sekali gus membuktikan keperluan tenaga mahir terus meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa sama, kebolehpasaran  graduan daripada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula pada kadar 98.7 peratus.

Beliau berkata jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 423,000 peserta berbanding 407,000 pada 2023.

“Menerusi segala langkah pemantapan TVET yang dilaksanakan Majlis TVET Negara (MTVETN), sikap serta pemikiran (sentimen) ibu bapa serta pelajar sudah bertukar dan semakin mempercayai bidang TVET.

“Kerajaan komited dan menekankan pemodenan terutama dalam pendigitalisasi TVET dengan meningkatkan infrastruktur digital, teknologi pembelajaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan Internet pelbagai benda (IOT) serta program lain termasuk memperluas latihan profesional kepada tenaga pengajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MTVETN berkata berpandukan Dasar TVET Negara 2030, kerajaan melaksanakan usaha pemantapan institusi dan kurikulum berasaskan keperluan industri, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar, penglibatan industri bagi pelaksanaan latihan dan pemodenan alat bantuan mengajar bagi memastikan graduan TVET kekal kompetitif dalam pasaran kerja.

Selaras usaha itu, katanya Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) diwujudkan sebagai garis panduan bagi memastikan kursus TVET yang ditawarkan menepati piawaian dan keperluan industri.

Mengenai FELDA, Ahmad Zahid berkata sejak Oktober 2023, agensi itu menaikkan kadar pendapatan minimum peneroka daripada RM120 kepada RM150 per ekar bagi membantu menampung peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata pendapatan berkenaan adalah kadar bersih selepas ditolak kos operasi, hutang dan caruman.

Selain itu, katanya kerajaan sedang mengusahakan program perumahan generasi baharu FELDA dengan mendapatkan peruntukan khas bagi membolehkan lebih ramai generasi peneroka memiliki kediaman sendiri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan