JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buka 15 Kertas Siasatan Penipuan Pelaburan Saham Didalangi "Datuk"

23/02/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Polis membuka 15 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian  RM638,205 berhubung kes penipuan program pelaburan saham yang didalangi individu bergelar "Datuk".

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat terbabit ditubuhkan pada 24 Feb 2022 dan memiliki dua pengarah syarikat termasuk "Datuk" berkenaan yang dilantik sebagai pengarah syarikat pada 10 Mei 2022.

“Semua kertas siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ramli berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat terbabit mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham membabitkan 175 individu dan empat syarikat.

“Daripada 15 kertas siasatan dibuka,11 mangsanya berdaftar sebagai pemegang saham,” katanya.

Semalam, media melaporkan 65 individu tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kerana ditipu individu bergelar "Datuk" berhubung pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata syarikat serta individu terbabit disyaki menawarkan program pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus dikeluarkan oleh pihak syarikat.

"Syarikat individu berpengaruh itu dikatakan menawarkan program pelaburan biasa (pre-IPO) yang disifatkan meragukan dan tidak melakukan sebarang aktiviti pelaburan seperti dimaklumkan kepada mangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan