SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja (KKR) telah melaksanakan projek pemasangan 11 sistem fotovolta suria yang disambungkan ke grid di bangunan-bangunan kerajaan, sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap dasar kerajaan dalam Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak lima daripada keseluruhan projek yang dimulakan sejak tahun lepas telah selesai, manakala selebihnya masih dalam pembinaan dan praperolehan.
Beliau berkata antara projek pemasangan yang telah siap dan diserahkan adalah Bangunan Parlimen Malaysia, Pusat Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Wisma Pertahanan Malaysia, Kompleks Kementerian Dalam Negeri.
“Pelaksanaan projek ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan TBB di negara ini, selain dapat menjimatkan bil elektrik pengguna. Sebagai contoh, pemasangan di Parlimen telah memberi penjimatan kos elektrik sehingga RM100,000 sebulan.
“Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem Solar Photovoltaic (PV) di atas bumbung bangunan serta kawasan parkir kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan tiga projek yang telah disiapkan melibatkan Wisma Pertahanan Malaysia, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di JKR Selangor di sini hari ini.
Nanta berkata empat projek yang sedang dalam peringkat pembinaan melibatkan 20 bangunan kerajaan, di mana 15 daripadanya adalah bangunan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan empat bangunan ibu pejabat polis, serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.
Beliau berkata baki dua lagi projek masih dalam peringkat praperolehan yang melibatkan tujuh bangunan JKR serta pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di Cyberjaya.
“Kita menyasarkan empat projek yang sedang dibina ini dapat disiapkan tahun ini, manakala dua projek dalam peringkat praperolehan, dijangka siap selewat-lewatnya pada Januari 2026,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial