AM

Ucapan PM Anwar Beri Kefahaman Amalan Puasa Diiktiraf Pelbagai Agama - IKIM

26/02/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ibadah puasa baru-baru ini bertujuan memberi kefahaman bahawa puasa adalah amalan yang turut diiktiraf oleh pelbagai agama, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Beliau berkata puasa Ramadan adalah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam dan amalan berpuasa turut wujud dalam agama lain seperti Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan Sikh.

“Setiap agama mempunyai cara, tujuan dan syarat-syarat tersendiri dalam melaksanakan puasa mereka seperti sempena memperingati kejadian tertentu, penebusan dosa, mengharap pengampunan dan penyucian rohani.

“Ini menunjukkan bahawa puasa adalah satu bentuk amalan universal, malah dalam Islam selain meningkatkan ketakwaan, puasa juga satu bentuk amalan mendisiplinkan diri, membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan untuk memberi penjelasan kepada masyarakat tentang kedudukan puasa dalam Islam dan kaitannya dengan puasa dalam agama lain, berdasarkan ucapan Perdana Menteri mengenai amalan puasa baru-baru ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) dalam kenyataan menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri berikutan kenyataan beliau yang menyandarkan pandangan terhadap puasa umat terdahulu secara tidak tepat, khususnya dalam konteks ayat Al-Quran. 

DUPP memaklumkan kenyataan Anwar yang cuba mengaitkan puasa golongan bukan Islam, seperti yang diamalkan dalam agama Kristian, Yahudi atau Hindu tidak seharusnya dihubungkan dengan ayat Al-Quran.

Mohamed Azam berkata walaupun puasa diamalkan oleh pelbagai agama, apa yang membezakan puasa dalam Islam adalah syarat, rukun dan tujuannya, malah puasa pada bulan Ramadan dilaksanakan dengan niat ikhlas untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT.

“Penjelasan ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan harmoni antara penganut agama di Malaysia agar saling memahami persamaan dan mengetahui batas perbezaan. Menghormati kepelbagaian dan bersikap tasamuh mampu mengelak salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional.

“Kami mengajak semua pihak mengambil ibrah (pengajaran) dan hikmah daripada Ramadan agar mampu menjadi medium untuk membina disiplin diri, empati dan kepekaan terhadap masyarakat sekeliling,” katanya.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata huraian oleh Perdana Menteri terhadap maksud ayat “sebagaimana” sudah menepati apa maksud al-Quran yang dihuraikan oleh ulama Islam iaitu “persamaan” dari sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah.

“DUPP perlu ditegur kerana membuat tafsiran baharu tersendiri yang menyempitkan maksud apabila menyatakan maksud ‘umat yang terdahulu berpuasa’ dalam ayat al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam. 

“Hal ini kerana para ulama ketika mentafsirkan ayat di atas telah menyebut tentang puasa orang Kristian yang direka oleh paderi-paderi Kristian dan tentunya ia bukannya atas dasar ketauhidan. Begitu juga puasa Asyura orang Arab Jahiliah tentunya bukan atas dasar ketauhidan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru, beliau menasihati DUPP agar tidak mencari titik berbeza dengan Perdana Menteri kerana perbezaan parti dan pegangan politik untuk diangkat menjadi polemik.

“Sewajarnya kita mengangkat titik-titik kebersamaan untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Duat Al-Falah dalam kenyataan memaklumkan walaupun terdapat perbezaan antara puasa umat terdahulu dengan telah disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti perbezaan bilangan hari dan waktu yang telah ditetapkan, tetapi ada juga persamaan.

 “Antara persamaan itu ialah menahan diri daripada makan dan minum serta bersama dengan isteri, namun tujuan dan matlamat utama pensyariatan puasa itu sendiri adalah untuk mendapat keredaan dan menambah ketaatan kepada Allah SWT,” menurut kenyataan itu.

Penyelaras Pondok Siyasah Luqman Tarmizi berkata berdasarkan penelitiannya terhadap kenyataan sebenar dan rujukan terhadap kitab tafsir ulama muktabar, tiada unsur kekeliruan serta kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri yang didakwa boleh “merosakkan pandangan masyarakat terhadap pensyariatan puasa".

“Faktanya jelas, bahawa ibadah puasa itu memang difardukan oleh Allah SWT ke atas setiap umat sebelum kita terutamanya golongan ahli kitab, namun tanpa menafikan berlakunya pengubahan oleh umat mereka yang terkemudian,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook Pondok Siyasah.

Luqman turut menasihati umat Islam untuk mengutamakan sikap sangka baik sesama Muslim daripada  suka mencari kesalahan dan memperbesar-besarkan sesuatu lebih daripada sepatutnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan