AM

Resipi Gulai Temenung Ayah Jadi Kenangan Anak Sabari

16/03/2025 02:43 PM

JITRA, 16 Mac (Bernama) -- Resipi gulai ikan temenung yang menjadi kegemaran ayahnya, kini menjadi kenangan buat anak-anak pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan maut dalam kejadian pada September tahun lepas.

Anak sulungnya, Dr Suraiya Izzaty, 30, berkata Ramadan kali ini lebih bermakna dengan menghidangkan juadah kegemaran ayahnya yang gemar memasak sendiri ketika anak-anak pulang ke rumah.

“Saya cuba memasak resipi kegemaran ayah, tetapi rasanya tetap berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sabari dilaporkan hilang pada 4 Sept 2024, sebelum keretanya ditemukan hangus di Belantik, Sik. Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dan pada 30 Sept, mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh dan dicampak ke Sungai Padang Terap, namun jasadnya belum ditemukan.

Operasi mencari jasadnya dimulakan selepas penahanan dua suspek, namun dihentikan pada 2 Okt akibat tiada petunjuk baharu.

Suraiya Izzaty hadir ke lokasi kejadian selepas sebutan kes bunuh ayahnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini ditangguhkan.

“Saya hanya mampu berdoa agar segala urusan berkaitan kes ini dipermudahkan,” katanya menambah Aidilfitri tahun ini pasti berbeza tanpa kehadiran ayah yang sebelum ini bertanggungjawab menyediakan persiapan, termasuk memasak juadah raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan