AM

Alumni PTD Gesa Tindakan Tegas Tangani Rasuah Dalam Perkhidmatan Awam

16/03/2025 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah yang tegas dan tuntas bagi menangani rasuah dalam sektor awam.

Presidennya Tan Sri Abdul Halim Ali berkata tanpa pencegahan yang kuat, pegawai dan kakitangan awam mengambil mudah rasuah justeru menjadikan amalan itu terus berleluasa.

 Beliau berkata kajian menunjukkan penguatkuasaan akan lebih berjaya sekiranya denda yang berat dikenakan dengan kebarangkalian ditangkap adalah tinggi termasuk kejayaan pendakwaan kes-kes sedemikian.

“Alumni PTD ingin mencadangkan supaya kita kembali ke asas dan memfokuskan pada beberapa program dan dasar sedia ada untuk melawan rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Alumni PTD mencadangkan beberapa langkah utama untuk menangani pelaksanaan yang lemah termasuk pengisytiharan aset tahunan.

“Pegawai dan kakitangan, terutamanya mereka dalam perkhidmatan yang terdedah kepada rasuah, mesti membuat pengisytiharan (aset) tahunan mereka dan pegawai kanan mereka harus menyemak pengisytiharan tersebut untuk memastikan kebenaran dan ketepatan.

“Penggunaan Kecerdasan Buatan dan analisis data besar akan membantu dalam hal ini. Kedua, ketua jabatan penguatkuasaan dan penyelia di setiap peringkat perlu memastikan integriti dalam kalangan pegawai di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata Alumni PTD menyokong program pertukaran pegawai secara berkala, bagaimanapun, tindakan perlu diambil terhadap mereka yang disyaki terlibat rasuah sebelum mereka ditukarkan.

Sehubungan itu, Halim mencadangkan penurunan pangkat dan sekatan untuk kenaikan pangkat bagi tempoh yang lama perlu dikenakan ke atas mereka dan hukuman denda perlu dinaikkan.

“Hukuman tambahan, seperti rampasan semua aset milik mereka yang disabitkan dengan rasuah dan juga aset saudara mereka jika diperoleh melalui cara rasuah,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan