DUNIA

Zelensky Lantik Ketua Angkatan Tentera Yang Baharu Dalam Rombakan Tentera

17/03/2025 12:10 PM

KIEV, 17 Mac (Bernama-dpa) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah mengarahkan perubahan dalam kepimpinan angkatan bersenjata negara itu, menurut kenyataan oleh Staf Am Ukraine pada Ahad.

Dalam pengumuman di Telegram, Staf Am memaklumkan bahawa Jeneral Andriy Hnatov, yang sebelum ini merupakan timbalan ketua Staf Am, kini dilantik sebagai ketua baharu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Hnatov diberi mandat untuk memperbaharui dan memperbaiki struktur perintah angkatan bersenjata di semua peringkat, menurut kenyataan itu.

Bekas ketua Staf Am, Anatoliy Barhylevych, pula akan menyandang jawatan sebagai inspektor jeneral baharu di Kementerian Pertahanan.

Tiada alasan rasmi diberikan bagi rombakan tersebut.

Bagaimanapun, angkatan bersenjata Ukraine telah mengalami kemunduran ketara dalam pertempuran menentang Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Selain kehilangan wilayah di timur negara itu, tentera Ukraine juga baru-baru ini telah berundur dari wilayah Kursk, barat Rusia.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan