AM

Strategi Pengurusan Bakat FGV Perkukuh Pertumbuhan Ekonomi, Pembangunan Komuniti

17/03/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- FGV Holdings Berhad (FGV), sebuah syarikat perniagaan asas tani global terkemuka, terus menetapkan penanda aras dalam pengurusan bakat melalui pendekatan komprehensif dan inklusif yang selaras dengan matlamat kemampanan syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Modal Insan FGV Group Razman Radzi berkata strategi pengurusan bakat syarikat itu berkait rapat dengan komitmen kemampanan dan usaha untuk memacu pembangunan komuniti.

"Di FGV, strategi pengurusan bakat kami berkait rapat dengan matlamat kemampanan dan komitmen terhadap pembangunan komuniti.

"Dengan melabur dalam modal insan melalui program inovatif dan memupuk budaya inklusif, berprestasi tinggi, kami bukan hanya memperkasakan individu, tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosiekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group Fakhrunniam Othman berkata pendekatan syarikat itu terhadap pengurusan bakat tertumpu kepada pembentukan nilai jangka panjang dengan membangunkan organisasi yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.

"Dengan menyelaraskan pengurusan bakat dengan matlamat perniagaan teras, kami memperkukuh kecemerlangan operasi dan memacu pertumbuhan yang mampan.

"Pendekatan bersepadu ini memastikan Warga FGV bukan hanya berdaya maju, tetapi turut menyumbang secara bermakna terhadap prestasi dan daya saing syarikat," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan bakat strategik, FGV melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan tenaga kerja mahir yang kukuh, mengintegrasikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memperkasakan komuniti tempatan melalui program pengambilan dan pembangunan kapasiti yang disasarkan.

Program biasiswa syarikat telah menyokong 121 pelajar sejak diperkenalkan pada 2006, dengan beberapa penerima kini memegang jawatan pengurusan kanan.

FGV juga memperkenalkan Projek Rintis dengan kerjasama Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia, program pembangunan bakat pertama di negara ini khusus untuk peladang dalam industri kelapa sawit yang bertujuan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran industri, meningkatkan kebolehpasaran, mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan memacu pertumbuhan mampan.

Bagi memastikan pembelajaran berterusan pada semua peringkat, FGV memperkenalkan program pensijilan, seperti Program Akauntan Bertauliah (ACe) FGV dan kursus latihan bersasar termasuk Perhubungan Industri untuk Pengurus bukan Sumber Manusia.

Dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat terbaik, FGV menyertai 23 pameran kerjaya di seluruh negara tahun lepas dan menjalinkan kerjasama dengan orgranisasi, seperti Majlis Pembangunan Bakat Johor untuk mengukuhkan bakat masa depan.

Program Pelatih Pengurusan pula menyediakan laluan peralihan ke dalam tenaga kerja bagi siswazah muda, dengan ramai peserta terus membina kerjaya dalam FGV.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kepelbagaian dan keterangkuman, FGV bekerjasama dengan LeadWomen untuk mempromosikan kesaksamaan gender, mencapai skor 28 peratus dalam Gender Gap Analysis Tool, lebih tinggi daripada purata nasional Malaysia, iaitu 27.2 peratus.

Syarikat berkenaan juga memperkenalkan Dasar Kepelbagaian Gender dalam Pengurusan Kanan dan meraikan pencapaian penting termasuk pelantikan Pengurus Kilang wanita pertama.

Komitmen FGV terhadap pengurusan bakat telah menunjukkan hasil positif, dengan pelibatan petugas mencapai 81 peratus pada 2023, melebihi purata nasional, dan program pensijilan secara langsung meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

Strategi pengekalan petugas syarikat itu juga berkesan, dengan kadar keluar masuk petugas menurun daripada 3.44 peratus pada 2022 kepada 2.45 peratus pada 2023.

Sebagai majikan pilihan, FGV memperoleh pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Best Employer Malaysia 2023 dan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 Best Employer Award manakala Ketua Pegawai Modal Insan kumpulan diiktiraf antara pemimpin sumber manusia terbaik di Asia oleh ETHRWorld, SpeakIn Asia Dialogues, dan World HRD Congress.

"Pendekatan pengurusan bakat FGV yang menyeluruh membuktikan komitmen kami untuk membina masa depan yang mampan bukan hanya untuk perniagaan dan petugas kami, tetapi juga untuk komuniti yang disantuni," kata Fakhrunniam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan