KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 yang diadakan selama dua bulan bermula 1 Mac lepas disasarkan dapat menjana nilai jualan RM5 juta berbanding RM2.5 juta tahun lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata setakat 15 hari kempen berlangsung, inisiatif di bawah platform jualan digital MyMall itu telah mencatat jualan RM2.6 juta.
"Ini satu perkembangan positif kepada usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam meraih pendapatan dan jualan sempena Ramadan melalui platform secara dalam talian iaitu MyMall," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di ODEON Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ewon berkata sebanyak 2,857 usahawan telah berdaftar di bawah platform MyMall dan berjaya meraih nilai jualan hingga RM10.819 juta sejak 2022 hingga kini.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mendukung platform MyMall yang dibangunkan dan membuka ruang kepada semua usahawan PKMS serta koperasi untuk mendaftar tanpa yuran selain memasarkan dan mengiklankan produk masing-masing secara percuma.
Selain itu, Ewon berkata pihaknya akan menyediakan pelbagai skim pembiayaan melalui tujuh agensi di bawah KUSKOP bagi menyokong keperluan para usahawan yang memerlukan modal tambahan untuk berniaga atau membesarkan perniagaan.
Menurut beliau, KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan dan geran bernilai RM9.577 bilion kepada 333,625 usahawan PMKS dan koperasi di seluruh negara tahun lepas.
"Saya percaya tahun ini dengan semangat dan keinginan usahawan dan koperasi, kita menskalakan perniagaan mereka dengan ketersediaan agensi-agensi ini membantu, saya fikir nilai ini boleh ditingkatkan lagi," katanya.
Sementara itu, seorang usahawan sambal bilis dan daging dendeng, Suryane Saidin, 46, berkata dia bersyukur kerana diberi peluang membuka reruai dan berniaga di ODEON Kuala Lumpur milik UDA Holdings iaitu agensi di bawah kementerian.
"KUSKOP banyak membantu usahawan kecil seperti saya untuk mempertingkatkan hasil jualan, diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan di www.mymallmalaysia.my atau e-mel contact@mymallmalaysia.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial