PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Dua pemilik syarikat dan seorang kerani ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit sindiket yang merasuah pegawai jabatan kerajaan.
Menurut sumber, kesemua lelaki berusia 20 hingga 30an itu ditahan antara 1 pagi hingga 1.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Ahad.
Kesemua mereka disyaki terbabit sindiket yang merasuah pegawai-pegawai jabatan kerajaan bagi mempercepat proses permohonan mendapatkan taraf warganegara Malaysia oleh pemohon warga asing.
“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek menerusi Op Fastlane ini adalah susulan Op Outlander yang dijalankan pada 11 Mac lalu melibatkan sindiket yang merasuah pegawai-pegawai jabatan kerajaan bagi mempercepat proses permohonan taraf kewarganegaraan.
"Mereka dipercayai membayar rasuah antara RM5,000 hingga mencecah RM150,000 bagi satu permohonan," kata sumber itu.
Kesemua mereka kini direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Idris Zaharuddin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial