GEORGE TOWN, 18 Mac (Bernama) -- Malaysia mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza, Sabtu lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan secara rasmi juga mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan yang berterusan di Gaza dan Palestin.
“Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk kemanusiaan yang membantu pesakit dan sebagainya.
“Kerajaan secara rasmi mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang di pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat sini hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan lapan petugas warga Palestin itu syahid dalam serangan yang berlaku pada 1.30 tengah hari (waktu tempatan) di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lepas.
Serangan udara itu berlaku ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat berkenaan selama sejam yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar dan barisan exco Pulau Pinang.
Mesyuarat berkenaan menyentuh mengenai pelbagai pembangunan dan projek strategik di Pulau Mutiara bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu seperti projek Kereta Kabel Bukit Bendera, Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial