KOTA BHARU, 18 Mac (Bernama) -- Bau harum pulut yang bersatu dengan wangi daun palas memenuhi segenap ruang, membangkitkan nostalgia indah yang tersimpan di hati.
Setiap lipatan ketupat yang dihasilkan bukan sekadar hidangan tetapi warisan yang teranyam dalam setiap helaiannya.
Di dapur kecil yang tidak pernah sunyi, tangan Zainun Ibrahim, 45, lincah melipat, mengisi dan mengikat.
Masa seakan berlumba dengannya, namun dia tetap setia meneruskan seni warisan yang telah sekian lama berakar dalam kehidupannya.
Pengusaha ketupat palas itu berkata dia sudah tidak lagi menerima tempahan menu wajib Aidilfitri itu kerana tempahan telah penuh.
Menurutnya lebih 3,000 biji ketupat telah ditempah sejak awal Ramadan dan jika dia menerimanya lagi, dikhuatiri tidak sempat disiapkan.
Setiap helai daun palas yang dibentuk bukan sekadar membungkus pulut tetapi menyimpan kisah tentang sebuah tradisi yang diwarisi daripada ibunya, Salmah Ismail, 62.
"Saya bersama anak sulung, Nur Salmi Atirah Zulmuni, 25, serta ibu berganding bahu menyiapkan tempahan. Kami seakan satu pasukan yang bersatu demi meneruskan legasi keluarga.
"Setiap Ramadan, tempahan tetap bertali arus. Ada pelanggan yang menempah lebih awal kerana takut kehabisan. Bagi mereka, ketupat palas ini bukan sekadar makanan tetapi lambang kemeriahan Aidilfitri yang sebenar," katanya kepada Bernama hari ini.
Bukan hanya penduduk sekitar, ketupat daun palas Zainun kini menembusi sempadan Kelantan. Malah, pelanggan dari jauh sanggup datang mencarinya. Ada yang menggemari ketupat lemak yang kaya dengan santan, ada yang memilih ketupat manis yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, ketupat kacang yang lebih mengenyangkan, serta ketupat serunding yang beraroma harum rempah menggoda selera.
"...dengan bantuan emak dan anak, dalam empat jam kami mampu menyiapkan sekitar empat kilogram (kg) ketupat. Tapi jangan salah sangka, kerja ini nampak mudah, tetapi kalau lipatan tidak kemas, ketupat boleh terbuka ketika direbus," katanya.
Zainun berkata ketupat palas berkenaan dijual pada harga antara RM1.40 hingga RM1.60 sebiji dan ketupat ini bukan sekadar juadah, tetapi kenangan yang terikat kukuh dalam setiap bungkusan.
"Saya selalu fikir, ketupat ini bukan sekadar makanan pagi raya. Ia adalah kasih sayang, harapan dan kisah yang tidak boleh hilang begitu sahaja.
"Saya harap anak saya akan meneruskan tradisi ini, supaya setiap anyaman daun palas terus menyimpan cerita dan terus menjadi sebahagian daripada Aidilfitri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial