KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral - Butterworth dan sebaliknya serta KL Sentral - Padang Besar dan sebaliknya.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa empat perkhidmatan ETS tambahan itu melibatkan perjalanan dua hari sebelum sambutan Aidilfitri, iaitu pada 28 dan 30 Mac, serta dua hari selepas sambutan Aidilfitri, iaitu pada 5 dan 6 April ini.
“Perkhidmatan ini menawarkan 1,254 tempat duduk setiap hari, termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan. Secara keseluruhan, sebanyak 5,016 tempat duduk disediakan bagi tempoh operasi ini untuk memenuhi keperluan pengguna,” menurut kenyataan itu, yang turut memaklumkan bahawa tiket tren tambahan akan mula dijual esok bermula jam 10 pagi.
Pada 3 Mac lalu, KTMB telah menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan bagi tempoh 28 Mac hingga 6 April 2025 berikutan tiket tren berjadual sedia ada telah habis dijual.
Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan adalah sebanyak 40 tren sehari sepanjang tempoh 28 Mac hingga 6 April, dengan jumlah tempat duduk sebanyak 117,996.
Para pengguna boleh membeli tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), mesin kios atau di laman sesawang KTMB, www.ktmb.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial