EKONOMI

MITI Sokong Pelaburan Teknologi Untuk Tingkat Kemahiran Tempatan - Tengku Zafrul

19/03/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terus menyokong pelaburan yang membawa teknologi terkini serta meningkatkan kemahiran dan kualiti tenaga kerja tempatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai contoh, Dyson Malaysia yang pada tahun 2000 hanya mempunyai 10 pekerja kini menggaji 1,400 pekerja, dengan 98 peratus daripadanya merupakan rakyat Malaysia.

“Sebanyak 20 daripada 23 jawatan pengurusan tertinggi Dyson Malaysia dipegang oleh rakyat Malaysia, dan jawatan-jawatan ini bukan sahaja melibatkan operasi di Malaysia, tetapi juga operasi di peringkat global,” katanya menerusi hantaran video di laman X beliau.

Tengku Zafrul berkata pekerjaan di Dyson Malaysia bukan hanya tertumpu kepada pembuatan produk, malah turut melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kampus Pembangunan Global di Johor seluas 35,000 meter persegi merupakan salah satu kampus terbesar Dyson di seluruh dunia.

“Ia adalah pusat R&D bertaraf dunia dengan 22 makmal dan ruang untuk menguji prototaip rekaan Dyson,” katanya.

Bagi membangunkan bakat tempatan, beliau berkata Dyson Malaysia turut bekerjasama dengan Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), agensi di bawah MITI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan