PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) menyerahkan sumbangan kepada 200 orang penerima dari 11 pusat jagaan dan institusi di sekitar Lembah Klang.
Penaung Puspanita Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan sumbangan itu kepada penerima, yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan asnaf pada Majlis Semarak Ramadan 1446H di sini hari ini.
Majlis itu merupakan kemuncak bagi Program Semarak Ramadan 1446H anjuran Puspanita Kebangsaan yang bermula 7 Mac, bagi mengimarahkan bulan puasa dan menyambut Nuzul Quran.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata penganjuran program itu penting untuk memaknai Ramadan, yang bukan sekadar mendekatkan diri kepada Allah SWT, tetapi juga mengajar erti hormat kepada orang lain dan memahami kesusahan mereka.
"(Tatkala) kita kejar (perkara) duniawi, jangan kita lupa bahawa ukhrawi juga penting. Berbuat baik (kepada orang lain) dan jangan buat tuduhan kerana rugi cakap kuat tetapi tidak ada benda (isi)," katanya semasa berucap di majlis itu.
Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil dan Naib Yang Dipertua I Datuk Dr Yatimah Sarjiman.
Program hari ini bermula dengan tadarus al-Quran melibatkan 300 ahli Puspanita dari 28 cawangan kementerian dengan diketuai 30 pembimbing dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Turut berlangsung ialah sesi ceramah bertajuk 'Ramadan: Satu dan Menyatukan' oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial