KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bank Rakyat mencatat pembiayaan sebanyak RM17.45 bilion berbanding sasaran awal RM14.04 bilion menerusi Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Haimee Zakaria.
Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi fasa satu dan fasa dua yang berlangsung dari 1 September hingga 30 Nov 2024 serta 1 Disember hingga 28 Feb 2025.
"Kami telah menerima peningkatan sebanyak 50 peratus permohonan bagi kempen ini berbanding fasa satu. Lebih daripada 80,000 permohonan diterima untuk kempen ini bagi fasa dua," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hulurkan Salam di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Runcit Khairudin Abdul Rahman berkata Bank Rakyat akan mengeluarkan 300,000 Touch Card kepada pelanggan baharu dan sedia ada tahun ini.
"Antara inisiatif penyelesaian yang kita laksanakan hari ini adalah pelancaran Touch Card bagi memudahkan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk mengenal pasti sama ada kad itu kad debit atau kredit," katanya.
Touch Card adalah kad perbankan patuh Syariah yang direka khas untuk membantu pengguna OKU penglihatan melakukan transaksi dengan lebih mudah dan selamat.
Sementara itu, bank berkenaan dalam kenyataan berkata ia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi inisiatif Touch Card, dengan 30 ahli PERTIS menerima insentif berjumlah RM200 setiap individu menerusi Kad Debit-i Bank Rakyat yang akan tersedia pada April 2025.
Bank Rakyat turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dengan menawarkan pembiayaan bernilai RM250 juta kepada lebih 116,000 ahli KPDRM.
"Pembiayaan ini diharapkan dapat membuka ruang dan peluang untuk menembusi pasaran koperasi dengan lebih meluas," katanya.
Bank Rakyat turut melancarkan semula program BRKOPLestari-i yang direka khusus untuk memberi nafas baharu kepada koperasi mikro, kecil dan sederhana bagi membantu koperasi yang selama ini tergolong dalam kategori kurang mendapat perhatian dan tidak mendapat perhatian agar mereka dapat berkembang serta terus berdaya saing dalam ekosistem koperasi negara.
Nor Haimee berkata, dengan penambahbaikan yang lebih menyeluruh, BRKOPLestari-i kini menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000, kaedah jaminan yang lebih fleksibel serta pelbagai latihan komprehensif yang merangkumi pengurusan aset berkualiti oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, pemasaran digital, jualan dan kursus lain yang relevan.
"Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan akses kepada modal malah turut membimbing koperasi ke arah pertumbuhan yang lebih progresif dan lestari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial