AM

AADK Perkenal DAC Untuk Pemulihan Lebih Holistik

19/03/2025 09:08 PM

PASIR MAS, 19 Mac (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuh usaha transformasi dalam sistem rawatan dan pemulihan penagihan dadah di negara ini dengan memperkenalkan Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC).

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata sebelum ini DAC dikenali sebagai Pusat Tahanan Reman atau lokap, namun kini telah  melalui transformasi selari dengan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024.

“DAC berfungsi sebagai pusat rujukan tunggal bagi individu yang ditahan dengan tumpuan utama pada saringan dan penilaian dadah yang komprehensif.

“Penilaian ini merangkumi aspek perubatan dan psikososial bagi memastikan rawatan yang diberikan lebih holistik dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di DAC Pasir Mas di sini hari ini.

Menurutnya pasukan perubatan di DAC akan menentukan jenis dadah yang digunakan oleh penagih serta kaedah rawatan terbaik bagi setiap individu.

Ruslin berkata pusat itu turut menyediakan penempatan doktor perubatan berdaftar secara lokum serta memperkasakan pegawai pemulihan dengan kepakaran dalam saringan dan penilaian menggunakan lapan instrumen khas.

“Langkah ini bertujuan mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan bagi Orang Kena Tahan tanpa perlu menunggu keputusan patologi, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan.

“DAC juga dilengkapi dengan fasiliti yang lebih mesra dan kondusif, sejajar dengan pendekatan pemulihan dan bukan sekadar hukuman semata-mata,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan ini turut mengambil kira aspek hak asasi manusia bagi memastikan individu yang ditahan mendapat rawatan dalam persekitaran yang lebih berperikemanusiaan.

“Transformasi ini adalah langkah besar dalam memperkukuhkan komitmen AADK untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya dalam menangani isu penagihan dadah di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan