KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Malaysia berada di kedudukan baik untuk memperkasakan pasaran modal, perniagaan tempatan dan daya saing global, disokong oleh persekitaran kondusif untuk pejabat keluarga dan rangka kerja kawal selia kukuh yang menggalakkan pelaburan semula kekayaan dalam negara, kata Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Dalam Laporan Tahunan 2024 dikeluarkan hari ini, SC menyatakan pembangunan pejabat keluarga yang berterusan selaras dengan wawasan negara untuk pertumbuhan mampan dan inklusif, memastikan modal kewangan serta sosial dimanfaatkan secara optimum demi memacu masa depan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
“Penubuhan dan perkembangan pejabat keluarga di Malaysia menawarkan potensi besar kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
“Apabila kekayaan dilaburkan semula dalam negara, ia berupaya memacu pengembangan syarikat dan industri tempatan, merangsang inovasi, dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi,” menurut SC.
SC menyatakan selain pelaburan kewangan, pejabat keluarga juga dapat memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti setempat melalui inisiatif filantropi yang menyumbang kepada pembangunan sosial, mencipta impak berkekalan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Kementerian Kewangan dan SC mengiktiraf potensi besar pejabat keluarga dalam memperkukuh pasaran modal domestic sebagai usaha memanfaatkan peluang ini, Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal (Skim SFO) telah diperkenalkan.
Sementara itu, Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) telah ditubuhkan untuk menarik pejabat keluarga asing melabur di Malaysia sambil memanfaatkan bakat tempatan selain menarik keluarga Malaysia yang mempunyai pelaburan luar negara untuk membawa pulang asset mata wang asing mereka ke Malaysia untuk diuruskan di sini.
Skim insentif ini membawa kadar cukai konsensi sifar peratus ke atas pendapatan yang dijana daripada pelaburan yang layak oleh Instrumen Pejabat Keluarga Tunggal (SFOV) selama 10 tahun pertama dengan tempoh 10 tahun berikutnya tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat termasuk memegang aset di bawah pengurusan (AUM) sekurang-kurangnya RM30 juta.
“Unjuran kesan pengganda ekonomi daripada inisiatif ini (Skim SFO) terutamanya menerusi keperluan bahan tempatan, dianggarkan bernilai antara RM3.9 bilion hingga RM10.7 bilion, merangkumi impak positif terhadap penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan sampingan lain,” menurut SC.
Memetik laporan McKinsey, SC berkata antara 2023 dan 2030, keluarga bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) dan bernilai bersih tinggi (HNW) di rantau Asia Pasifik dijangka melalui pemindahan kekayaan antara generasi dianggarkan bernilai US$5.8 trilion sekali gus menyaksikan pemindahan kekayaan antara generasi terbesar dalam sejarah pasaran modal global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial