AM

Beri Ruang Pihak Terlibat Selesai Pemindahan Kuil Secara Harmoni - Fahmi

22/03/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan peribadi dan politik dengan mengapi-apikan isu pemindahan sebuah kuil di Jalan Masjid India di sini. 

Beliau meminta individu yang tidak terlibat memberikan ruang dan tidak mengambil sebarang tindakan melangkaui batas undang-undang supaya pihak terbabit dapat menyelesaikan hal itu secara harmoni.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata hal itu wajar diuruskan oleh tuan tanah iaitu Jakel Group bersama pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi pemudah cara dalam urusan pemindahan dan penyediaan tapak gantian.

"Sebelum ini, banyak perbincangan telah berlangsung di antara mereka maka kita yang berada di luar berikan mereka ruang untuk meneruskan perbincangan, itulah yang dimohon oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 "Memang sebelum ini pihak kuil ada menyatakan pandangan mereka dan juga permohonan mengenai beberapa lokasi gantian. Jadi, hal itu telah dan sedang diuruskan oleh pihak DBKL serta beberapa pihak lain untuk memastikan keharmonian dan juga memastikan tidak berlaku apa-apa salah faham kerana pihak Jakel juga ingin memastikan proses ini berjalan secara aman dan tenteram," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Iftar dan pemberian bantuan sempena Aidilfitri kepada penduduk Lembah Pantai di sini hari ini. 

Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak meninggalkan komen yang jelik di media sosial.

"Pihak Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan dan sekiranya ada sesiapa dipercayai melanggar undang-undang maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya. 

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan Aidilfitri secara simbolik kepada 30 wakil keluarga yang hadir pada majlis berkenaan. 

Sebanyak 1,100 keluarga menerima bantuan RM150 sekeluarga daripada Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai. 

Pada Khamis lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata DBKL berperanan sebagai pemudah cara dalam memastikan urusan itu diselesaikan dengan baik

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan