AM

Dua Set ETS Tiba April Depan Mula Beroperasi Menjelang Ogos - Anthony Loke

23/03/2025 05:48 PM

SEGAMAT, 23 Mac (Bernama) -- Dua set tren elektrik (ETS) yang dijangka tiba daripada pembekal di China pada April ini, akan mula beroperasi menjelang Ogos.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kedua-dua tren tersebut akan melalui pemeriksaan selama tiga hingga empat bulan sebelum boleh beroperasi.

Beliau berkata perkhidmatan ETS merupakan satu pencapaian baharu dalam sejarah keretapi negara kerana ia menghubungkan keseluruhan jajaran utara ke selatan dari sempadan Malaysia-Thailand ke sempadan Malaysia-Singapura.

“Dua set tren dari China bersama lapan set yang sedang dipasang di Batu Gajah, Perak itu akan melengkapkan jajaran di bahagian selatan negara susulan perkhidmatan ETS di stesen keretapi Segamat, Johor telah bermula 15 Mac lepas.

“... tetapi kita tak tunggu semua 10 set tiba baru kita beroperasi, kita mula dulu dengan mana-mana set yang telah siap. Untuk Gemas sampai Johor Bahru akan ada 3 fasa iaitu sampai Segamat, kemudian Kluang dan baru sampai JB sentral.

“Ini merupakan satu pencapaian baru dan untuk bahagian di Gemas-Johor Bahru ini, kita telah membuat keputusan untuk membuka secara berfasa, jadi fasa pertama ini bermula dengan stesen Segamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja menaiki Perkhidmatan ETS dari KL Sentral ke Stesen Keretapi Segamat, Johor dan Majlis Edaran Pek Bubur Lambuk Aidilfitri kepada penumpang di Steeen Keretapi Segamat di sini hari ini.

Loke menambah perkhidmatan ETS itu juga menawarkan kelas perniagaan yang lebih premium dan memberikan keselesaan kepada penumpang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata peruntukan RM300,000 telah diluluskan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi pembinaan jejambat yang menghubungkan stesen keretapi Segamat dengan terminal bas.

Loke berkata pembinaan jejambat itu akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri yang mengambil masa enam bulan dan dijangka siap Oktober depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan