KEPALA BATAS, 24 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Penang Halal International (PHI) menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Karnival Mahabbah bagi penganjuran karnival usahawan yang lebih besar di peringkat negeri.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kerjasama itu bukan sahaja dapat menghimpunkan lebih ramai usahawan, tetapi turut membuka ruang lebih besar untuk mempromosikan produk mereka, sekali gus meningkatkan peluang pemasaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain PHI kita ada usahawan zakat juga di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), malah, di bawah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, di bawah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), juga kita boleh buat penganjuran bersama mereka,” katanya.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Mahabbah Ramadan Syawal di Bertam Square di sini, malam tadi beliau berkata penganjuran bersama karnival itu boleh diadakan dua kali setahun dan tidak perlu hanya tertumpu kepada waktu Ramadan dan kedatangan Syawal sahaja.
Mohamad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan penganjur Karnival Mahabbah bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai cadangan tersebut agar ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Kita boleh buat satu (karnival) dengan PHI, Expo Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) seperti yang pernah dianjurkan tapi kali ini kerjasama dengan Karnival Mahabbah,” katanya.
Sementara itu penganjur Karnival Mahabbah Zaini Aboo Hassan menyambut baik cadangan kerjasama itu dan berharap perbincangan dapat dibuat dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya amat berbesar hati untuk menjalin usahasama dengan kerajaan negeri selain menyifatkan ia sememangnya peluang yang dinantikan selama ini.
Mengenai karnival yang sedang berlangsung, beliau berkata setakat ini ia menerima sambutan luar biasa sejak hari pertama dibuka pada 2 Mac lepas dengan jumlah kehadiran sudah pun mencatat kira-kira 200,000 pengunjung.
“Kita sasarkan 500,000 pengunjung hingga hari terakhir 30 Mac ini dan Insya-Allah ia mampu dicapai. Keseluruhan kita ada 350 peniaga yang menyertai karnival tahun ini dari seluruh Malaysia, yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial