AM

Jumlah Mangsa Banjir Yang Berlindung Di PPS Di Johor, Sarawak Menurun, Sabah Meningkat

24/03/2025 10:12 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Situasi banjir di Johor dan Sarawak menunjukkan trend semakin pulih, manakala jumlah mangsa di Sabah dilihat meningkat sedikit setakat 8 pagi ini.  

Di JOHOR, 3,893 orang mangsa banjir daripada 1,154 keluarga didapati masih sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 4,597 orang daripada 1,481 keluarga petang semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di 24 PPS di lima daerah terjejas, dengan Daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah tertinggi 2,409 orang, diikuti Pontian (552), Kluang (487), Batu Pahat (358) dan Kota Tinggi (87).

Beliau berkata hanya satu sungai yang dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 14.60 meter. 

Di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 451 orang selepas PPS Balai Raya Song di Bahagian Kapit ditutup petang semalam berikutan situasi banjir yang semakin pulih.

Setakat pagi ini 26 mangsa masih ditempatkan di Asrama Belia Kapit dan 102 mangsa di Dewan Suarah Kapit, manakala di Bahagian Sibu mencatatkan 49 orang berlindung di PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya, PPS Kompleks Sukan Kanowit (189) dan PPS Dewan Serbaguna Selangau (85).

Sementara itu Sekretariat JPBN SABAH memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 473 orang daripada 141 keluarga pada pagi ini berbanding 304 daripada 86 keluarga pada petang semalam.

JPBN Sabah dalam kenyataan pagi ini memaklumkan 168 orang daripada 45 keluarga sedang berlindung di PPS Dewan DSP DUN Banir, Dewan Gereja St Seno Batu 58 (167 orang daripada 55 keluarga) dan Dewan Selangon (138 orang daripada 41 keluarga).

“Terdapat penambahan mereka dipindahkan di PPS Dewan Gereja St Seno Batu 58 pada pagi ini menyebabkan jumlah dipindahkan meningkat. Lapan kampung terjejas akibat banjir di Beaufort,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan