Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang kukuh tetapi kemudiannya merosot disebabkan kekurangan pemangkin baharu.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.93 mata kepada 1,503.52 daripada 1,505.45 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.05 mata kepada 1,506.50.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 151 berbanding 100, dengan 248 kaunter tidak berubah, 1,927 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 106.07 juta saham bernilai RM43.71 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat lepas apabila pilihan saham dan indeks, bersama dengan niaga hadapan indeks dan saham tunggal, tamat tempoh.
“Walaupun ketiga-tiga indeks utama meningkat semula daripada paras terendah harian, dagangan kekal tidak menentu berikutan sentimen kekal berhati-hati dalam ketidaktentuan tarif.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat meningkat kepada 4.25 peratus,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, katanya FBM KLCI ditutup dalam julat positif tetapi sentimen pasaran kekal lemah dengan aliran keluar dana asing yang berterusan.
“Walaupun terdapat sokongan belian awal, ia berkurangan apabila jualan asing meningkat. Sehubungan itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,500 hingga 1,510 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 2.0 sen kepada RM10.20 dan IHH Healthcare naik 12.0 sen kepada RM7.02.
Sebaliknya, CIMB Group dan Public Bank, masing-masing berkurangan 2.0 sen kepada RM6.83 dan RM4.47 serta Tenaga Nasional susut 4.0 sen kepada RM13.52.
Dalam kalangan saham aktif, Saliran Group menambah 1.0 sen kepada 26.5 sen dan MMAG Holdings naik setengah sen kepada 78.5 sen.
Kanger International merosot setengah sen kepada 3.5 sen dan ES Sunlogy berkurangan 2.0 sen kepada 26.0 sen manakala Sapura Energy mendatar pada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE berkurangan 6.57 mata kepada 4,818.07, Indeks FBM 70 merosot 32.50 mata kepada 16,255.50, Indeks FBM Emas susut 10.90 mata kepada 11,294.80.
Indeks FBMT 100 berkurangan 16.30 mata kepada 11,045.08 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 3.03 mata kepada 11,024.14.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 3.79 mata kepada 755.59 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 36.51 mata kepada 18,403.32, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.11 mata kepada 153.32 dan Indeks Perladangan berkurangan 4.51 mata kepada 7,445.42.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial