KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa didera di sebuah pusat jagaan berdaftar di Batu Buruk di sini sehingga koma dua tahun lepas, memfailkan saman RM1.2 juta terhadap tiga orang pengasuh dan pengusaha taska berkenaan.
Peguam Mohd Hazwan Hamidun berkata saman berkenaan difailkan Ahmad Aysar Wildan Ahmad Syamil Hadi, 3, melalui bapanya yang merupakan Guardian ad litem di Mahkamah Tinggi, di sini semalam dan akan diserahkan kepada defendan minggu ini.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohd Hazwan berkata saman sivil itu difailkan ke atas pengasuh Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 29, Nur Azreen Nazira Mohamad, 24, dan Nuurakmal Syahirah Abdullah, 35, serta pemilik taska Salawati Sidek, 51.
Berdasarkan saman yang difailkan itu, kanak-kanak itu menamakan Raja Noor Iffa Nadia sebagai defendan pertama yang didakwa pelaku utama dan telah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini di bawah Akta 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 16 Dis 2024, dan telah didenda RM15,000.
Defendan lain Nur Azreen dan Nuurakmal pula yang berada dalam bilik sama ketika kejadian didakwa hanya melihat dan tidak mencegah atau melarang Raja Noor Iffa Nadia daripada mengasari dan mencederakan Ahmad Aysar Wildan yang ketika itu berusia empat bulan.
Mohd Hazwan berkata Salawati pula didakwa melakukan kecuaian apabila gagal memastikan semua pengasuh mematuhi etika dan menjalankan kerja dengan baik, sekali gus bertanggungan secara vikarius atas tindakan pengasuhnya itu.
Selain saman RM1.2 juta, pihaknya turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM250,000, ganti rugi khas yang akan ditaksirkan mahkamah dan kos tindakan, kos guaman serta faedah yang akan ditanggung defendan.
Dalam kejadian antara 1 hingga 3 Jan 2023 itu, anak tunggal dari pasangan pegawai perubatan berkenaan telah mengalami pendarahan di bahagian otak kiri, retak bahagian kiri tengkorak dan pendarahan pada bahagian retina kedua-dua matanya.
Ahmad Syamil Hadi berkata anaknya itu kini disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kategori pelbagai yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat akibat kecederaan tersebut.
Beliau berkata kes jenayah terhadap anaknya memang sudah selesai dan kini beliau menfailkan saman sivil berkaitan kes anaknya itu terhadap semua defendan.
“Anak saya juga kini terpaksa menjalani fisioterapi seminggu sekali kerana tangan dan kaki kanannya tidak boleh berfungsi dengan normal. Perkembangannya juga tertangguh dan disebabkan dengan keadaan emosinya, doktor suspek dia mungkin autism,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial