AM

Jenazah Tiga Beranak Maut Nahas Empat Kenderaan Selamat Dikebumikan

28/03/2025 09:00 PM

KOTA TINGGI, 28 Mac (Bernama) -- Jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kluang malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini hari ini. 

Jenazah Nasaarudin Pardi, 36, isterinya Siti Khazira Bani, 35, dan anak mereka yang berusia dua tahun selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 6.20 petang.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Al Muttaqin Taman Kota Jaya dan diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta kenalan. 

Adik Siti Khazira, Taufiq Bani, 33, ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang hari ini berkata Allahyarham dan Nasaarudin memilih baju raya sedondon berwarna hitam untuk dipakai mereka sekeluarga bagi menyambut Aidilfitri. 

"Tahun ini kakak beritahu dia akan memakai pakaian hitam, saya berasa pelik kerana kakak tidak pernah memakai pakaian berwarna hitam untuk hari raya. Dia hanya maklumkan perkara ini kepada saya. Baru-baru ni, dia kerap berkongsi gambarnya sekeluarga di media sosial terutama Instagram. 

"Kami sekeluarga sebenarnya semasa kejadian menunggu kepulangan kakak untuk sahur bersama hari ini tetapi sehingga pukul 2.30 pagi, kakak masih belum sampai ke rumah kami di Kota Tinggi," katanya.

Taufiq berkata selepas dimaklumkan pada kira-kira 3 pagi bahawa kakaknya sekeluarga terlibat dalam kemalangan, dia dan beberapa ahli keluarga bergegas ke HEBHK untuk mengetahui lebih lanjut keadaan mereka.

"Dua anak kakak yang berusia sembilan dan empat tahun masih dirawat di HEBHK dan mereka akan dipindahkan ke hospital di Kota Tinggi untuk memudahkan urusan keluarga," katanya. 

Bedah siasat ke atas jenazah Nasaarudin dan anaknya dilakukan di HEBHK manakala bedah siasat ke atas jenazah Siti Khazira dilakukan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan