AM

BAWA Laksana Hampir 50 Program Bantuan, Kebajikan Untuk Golongan Memerlukan

29/03/2025 06:30 PM

ALOR GAJAH, 29 Mac (Bernama) -- Badan Amal Warga Asnaf (BAWA) Malaysia telah melaksanakan hampir 50 program bantuan dan kebajikan untuk golongan memerlukan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Presidennya Datuk Amilludin Latip berkata daripada jumlah itu, 17 program telah dilaksanakan di Melaka termasuk Program Jelajah Ramadan 2025 bagi memastikan golongan asnaf tidak tercicir atau dipinggirkan dalam menyambut  Aidilfitri.

Beliau yang juga Yang Dipertua BAWA Negeri Melaka, berkata bantuan disalurkan BAWA tidak hanya tertumpu pada sumbangan makanan, sebaliknya meliputi pelbagai bentuk termasuk membersihkan rumah golongan memerlukan untuk memastikan keselesaan penghuninya.

"Setakat ini, BAWA telah ditubuhkan di Melaka, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Melaka merupakan antara negeri yang aktif menganjurkan misi atau program bantuan serta sumbangan kepada golongan memerlukan.

"Buat sementara waktu ini, kita tidak bercadang untuk memperluaskan penubuhan BAWA di lain-lain negeri ekoran kekangan kewangan kerana kita tidak dibantu pihak tertentu atau geran daripada kerajaan, sebaliknya program amal yang dilaksanakan adalah melalui sumbangan orang luar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Ramadan 2025 melibatkan penyampaian bantuan kotak makanan mengandungi barangan asas kepada 70 penerima selain wang tunai yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Mengulas lanjut, Amilludin berkata BAWA mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau majlis agama Islam di setiap negeri dalam usaha menggerakkan lebih banyak misi kebajikan atau program bantuan untuk golongan asnaf.

"Badan amal ini ditubuhkan sejak 10 tahun lepas untuk menyantuni, khususnya golongan asnaf manakala di peringkat negeri ia ditubuhkan secara berperingkat. Sebagai contoh, BAWA Melaka telah ditubuhkan hampir tiga setengah tahun.

"Bantuan yang digerakkan BAWA tidak hanya tertumpu pada Ramadan sahaja tetapi sepanjang tahun dan kita konsisten untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan