IPOH, 26 Mac (Bernama) -- Pengumuman penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula pada 1 April ini membawa kelegaan kepada golongan B40, khususnya penerima baharu yang tidak sabar-sabar memanfaatkannya bagi menguruskan perbelanjaan harian dan sambutan Aidilfitri.
Bagi Intan Suraya Mohd Noordin, 50, yang merupakan penerima baharu SARA menyifatkan bantuan itu sebagai kelegaan besar buatnya dalam mengurangkan beban perbelanjaan bersama anak tunggalnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana tersenarai sebagai penerima dan bantuan tambahan ini bolehlah tampung untuk beli barang keperluan asas untuk hari raya,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah pasar raya di Tambun hari ini.
Ibu tunggal itu yang sebelum ini merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut memuji pendekatan kerajaan untuk menyalurkan bantuan SARA secara automatik ke dalam MyKad yang disifatkan lebih selamat serta memastikan hanya penerima yang layak boleh menggunakannya.
Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula pada 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
Penerima yang layak akan menerima bantuan hingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.
Peluasan ini adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.
Selain itu, sebanyak 4.7 juta penerima STR yang tidak tersenarai dalam eKasih akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan bagi warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah bermula pada 1 April.
Seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh Shahrulnaim Salim, 28, yang juga penerima baharu bagi sumbangan SARA, berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
“Dengan bantuan ini nanti dapatlah tampung perbelanjaan barangan dapur, tambahan pula dalam tempoh sambutan hari raya ia memang sangat diperlukan, perasaan saya tentulah seronok dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga,” kata bapa yang bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Sementara itu, Kamarudin Abu Kasim, 69, bekas Pembantu Perawatan Kesihatan, berkata dia terkejut apabila mendapati layak untuk menerima bantuan SARA tahun ini.
“Saya pesara berpencen … sebelum ini, saya hanya terima bantuan STR … tetapi tahun ini saya terkejut apabila nama saya tersenarai untuk memperoleh bantuan SARA,” katanya ketika ditemui selepas mencuba untuk membuat pembayaran menggunakan Mykad, namun tertera bantuan itu akan diberikan bermula pada bulan depan.
Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 di seluruh negara berbanding 700 kedai pada 2024.
Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan selain barang makanan asas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial