KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang diselesaikan secara harmoni membuktikan Kerajaan MADANI berjaya menguruskan isu sensitiviti agama dengan penuh kebijaksanaan, adil dan kesepakatan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Datuk Ismail Yusop berkata ketegasan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kuil itu tidak akan diroboh namun perlu mengikut lunas undang-undang adalah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri atas kebijaksanaan memimpin Kerajaan MADANI dalam menyelesaikan isu ini dengan baik tanpa konflik perkauman dan agama.
"Kerajaan MADANI akhirnya berjaya mengendalikan isu ini dengan penuh kebijaksanaan dengan memastikan hak pemilik tanah dihormati iaitu Jakel, keperluan komuniti kuil dipenuhi dengan menggunakan kaedah rundingan dan solusi menang-menang dicapai dan akhir sekali adalah keharmonian antara agama dikekalkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, dilaporkan hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.
Ismail juga berkata pendekatan menerusi langkah rundingan, menghormati hak milik wasiat, pemindahan terancang serta menjamin hak dan keharmonian antara yang telah diambil oleh Kerajaan MADANI hasil perbincangan pelbagai pihak termasuk dengan pengurusan kuil.
"Inilah manifestasi kepimpinan yang inklusif dan matang... setiap keputusan dibuat dengan timbang rasa, bukan tekanan atau konfrontasi," katanya.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan pula meminta semua pihak menghormati ketegasan Perdana Menteri dan menghentikan pertikaian isu perpindahan kuil itu.
Beliau berkata pertikaian berunsurkan sentimen perkauman tidak akan membawa sebarang kebaikan malah boleh menjerumuskan negara ke kancah perpecahan.
"Dua penegasan yang disebutkan dengan jelas adalah 'negara ini adalah negara hukum' iaitu kita mesti menghormati dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
"Kedua, penyelesaian ini tidak boleh dijadikan duluan bagi kes-kes yang berlaku selepas ini. Ia perlu melihat setiap kes berkaitan pembinaan kuil secara berasingan dan unik," katanya.
Khamis lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di tanah milik Jakel Group di Jalan Masjid India di sini, berjalan dengan harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial