AM

Lebih 80 Peratus Kadar Pusingan Kerja Libat 111 Pegawai Bomba - KP

27/03/2025 06:16 PM

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mencapai kadar pusingan kerja sebanyak 82.84 peratus iaitu 111 pegawai merangkumi kumpulan pengurusan dan profesional yang telah bertukar atau menjalani pusingan tempat kerja di seluruh negara sehingga 31 Dis lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata proses itu akan diteruskan tahun ini dengan penetapan sasaran sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai daripada kumpulan berkenaan.

“Kita (JBPM) sudah capai KPI (petunjuk prestasi utama) yang ditetapkan kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) (KPKT) iaitu 70 peratus.

“Tumpuan kita sekarang untuk teruskan fasa yang kita lakukan tahun lepas iaitu fokus kepada kumpulan sokongan dan pelaksana meliputi gred KB2 dan ke atas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM Mac 2025 di sini hari ini.

Berkongsi status pusingan kerja bagi kumpulan lain untuk tempoh sama, beliau berkata ia turut melibatkan 41.78 atau 506 pegawai daripada kumpulan pelaksana.

Nor Hisham berkata beliau telah mengemukakan permohonan kaveat kepada KPKT pada 6 Feb lepas untuk mengecualikan beberapa jawatan daripada pusingan kerja sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pertimbangan.

“Kita akan mohon kecualikan gred tertentu contohnya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), pasukan penyelam, Unit Anjing Pengesan K9 dan unit udara.

“Kumpulan ini kita mohon pengecualian pusingan kerja sebab jumlah unit yang ada tak banyak. Kita perlu kekal sebab kepakaran mereka dan keupayaan teknikal. Kalau nak latih baharu, ia memerlukan masa dan peruntukan tinggi,” katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, Nor Hisham berkata pindaan itu membolehkan JBPM berfungsi dengan cekap dalam mengawal selia enam perkara yang dipinda.

“Enam perkara ini menjadi cabaran kepada kita. Dalam sedikit masa, kita akan susun pindaan ini,” katanya.

Pada 25 Feb lepas, media melaporkan RUU yang bertujuan meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) itu mengandungi peruntukan untuk pendaftaran perunding keselamatan kebakaran, firma perunding keselamatan kebakaran, individu kompeten, kontraktor keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar, serta kelengkapan dan pemasangan keselamatan kebakaran.

Selain itu, menerusi RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, Akta 341 dicadangkan dipinda dengan memasukkan Seksyen baharu 50A yang berkaitan penyamaran sebagai Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan dan Pegawai Bomba Sukarela.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan