GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) -- Projek penambakan tanah yang dicadangkan dari Tapak Pelupusan Jelutong sehingga Persiaran Karpal Singh di sini, tidak akan melibatkan Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang memberi jaminan tersebut, berkata kerajaan negeri memastikan kawasan marin berkenaan tidak akan terjejas dalam cadangan projek penambakan tanah yang masih menunggu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.
“Dalam cadangan ini kita memastikan ia (Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah) tidak masuk dalam kawasan yang kita kenal pasti.
“Sebelum ini kita memang kenal pasti dan kawasan yang akan ditebus guna pun akan menyambung kepada tanah yang sedia ada di Persiaran Karpal Singh,” katanya pada sidang media di bangunan Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas permintaan Jawatankuasa bertindak Perlindungan Karpal Singh Drive, agar pihak berkuasa melanjutkan tarikh akhir maklum balas awam berkenaan projek berkenaan dan kebimbangan memberi kesan kepada Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah.
Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah yang meliputi kira-kira 10 kilometer persegi di perairan Selat Selatan antara pulau dan tanah besar Pulau Pinang, merupakan satu-satunya kawasan padang rumpai laut di Selat Melaka yang menempatkan 429 pelbagai spesies seperti rumpai laut, pokok, tumbuhan, ikan dan burung.
Sementara itu, Chow juga meminta semua individu dan pertubuhan di Pulau Mutiara itu untuk mengemukakan pandangan serta ulasan kepada pihak pemaju, yang mengendalikan maklum balas awam EIA agar JAS boleh meneliti kesemua pandangan dalam pertimbangan mereka berkenaan projek tersebut.
“Projek ini melibatkan pemulihan Tapak Pelupusan Jelutong yang segala sisa-sisa buangan sejak ia dibuka pada zaman 90-an akan dikorekkan semula dan dikitarkan semula (apa yang boleh dikitarkan semula) manakala apa yang tidak boleh (kitar semula) akan dihantar kepada Temporary Integrated Waste Disposal Centre di Pulau Burung, Nibong Tebal.
“Setelah ia dipulihkan, pemaju yang dilantik akan memperoleh tanah-tanah itu untuk tujuan pembangunan bercampur,” katanya.
Chow berkata beliau memaklumkan di bawah perjanjian dengan syarikat konsesi, kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan menerima sebahagian daripada tanah yang telah dipulihkan, namun kerajaan negeri masih tiada keputusan muktamad mengenai perancangan yang akan dilakukan dengan menggunakan tanah tersebut.
Beliau juga menjangkakan pemulihan tersebut mengambil masa lima hingga enam tahun dan ia masih belum dimulakan kerana belum menerima kelulusan EIA setakat hari ini.
Pada 2020, PDC telah menandatangani perjanjian dengan PLB Engineering Bhd untuk melaksanakan kerja pemulihan dan pembangunan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong dengan kos RM1 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial