AM

KPKT Semarak Ramadan Dengan Pelbagai Aktiviti Perpaduan

29/03/2025 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama)  --  Semangat muhibah dan perpaduan terus mekar dalam kalangan warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi pelbagai inisiatif sepanjang Ramadan serta menjelang Aidilfitri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada sesi singgah sahur bersama anggota bomba hingga ke pengedaran kurma dan majlis ihya Ramadan, KPKT bukan sekadar menyeramakkan suasana perayaan tetapi juga mengukuhkan semangat kebersamaan.

Beliau berkata ia selaras slogan ditonjolkan KPKT iaitu perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia. 

“Seperti biasa, kami telah menghias lobi KPKT dengan tema ‘Eid Mubarak’ yang indah dan menawan untuk menyeramakkan suasana perayaan dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan warga KPKT.

“Di kementerian ini, kami sentiasa berbangga dalam meraikan pelbagai perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Tahun Baru Cina bersama warga KPKT yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata peluang menyambut setiap perayaan utama di negara ini secara bersama dalam keadaan yang aman dan harmoni merupakan nikmat amat besar bagi setiap rakyat. 

Oleh itu, beliau menegaskan rakyat mesti menolak suara yang cuba memecahbelahkan mereka kerana perpaduan adalah asas kestabilan dan kemajuan negara.

Sebelum ini, sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang berkorban demi menjamin keselamatan rakyat, Nga turun padang mengadakan sesi sahur bersama anggota bomba di Kuala Lumpur pada awal Ramadan selain turut melakukan kunjungan mengejut untuk mengagihkan kurma kepada warga KPKT.

Nga berkata menjelang Aidilfitri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga telah membekukan cuti bagi 70 peratus anggotanya untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menjamin keselamatan masyarakat menerusi Op Siaga Raya.

Pada masa sama,  kementerian juga mempergiatkan inisiatif seperti menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk menaik taraf tandas awam di kawasan rehat dan rawat agar rakyat dapat menikmati kemudahan yang bersih dan selesa semasa perjalanan pulang ke kampung halaman.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan