SEPANG, 28 Mac (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang meragut lima nyawa di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kluang, Johor semalam.
Beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengangkutan yang didakwa menyebabkan nahas itu jika ia didapati melanggar peraturan keselamatan.
“Kejadian ini sangat menyedihkan dan merupakan satu tragedi besar lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
"Seperti prosedur biasa, syarikat tersebut akan disiasat, diaudit dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Loke berkata dakwaan bahawa treler yang terlibat dalam kemalangan itu menggunakan tayar klon yang tidak mematuhi piawaian keselamatan juga sedang disiasat.
“Kita belum dapat memastikan sama ada tayar yang digunakan adalah tayar klon atau tidak. Sebarang kesimpulan awal tanpa siasatan menyeluruh hanya akan mengundang spekulasi yang tidak wajar.
“Siasatan terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tayar tersebut pecah. Kita perlu memastikan sama ada ia berpunca daripada masalah teknikal, kecuaian penyelenggaraan atau penggunaan tayar yang tidak mematuhi piawaian,” katanya.
Semalam, nahas pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.
Ia dipercayai berpunca daripada tayar hadapan sebuah treler pecah dan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta Toyota Camry yang dalam arah perjalanan sama.
Treler itu kemudian terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton X50 serta Honda Stepwagon Spada.
Loke berkata tindakan penguatkuasaan dan audit terhadap syarikat pengangkutan akan terus diperketat bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
“Ini adalah satu peringatan bahawa keselamatan perlu menjadi keutamaan.
"Kita tidak mahu melihat tragedi seperti ini berulang hanya kerana pengabaian pemeriksaan kenderaan atau penggunaan komponen yang tidak mengikut piawaian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial