AM

Patriostime Sejati Bukan Sekadar Simbol – Lee Lam Thye

30/03/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Inisiatif kerajaan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar bermula 21 April ini, adalah peringatan simbolik tentang identiti nasional dan perpaduan, kata ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye.

Sambil mengalu-alukan inisiatif itu, Lee bagaimanapun berkata kesetiaan sejati kepada negara harus melangkaui simbol dan perlu dibina melalui pendidikan, penglibatan serta pengalaman dalam kehidupan sebenar.

Beliau berkata walaupun memakai lencana Jalur Gemilang adalah langkah positif namun memupuk semangat patriotisme sejati memerlukan usaha berterusan daripada sekolah, pendidik, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.

“Jika kita memupuk sifat-sifat ini dalam generasi muda, Malaysia akan memiliki masa depan yang dibina atas dasar perpaduan, integriti, dan kemajuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lee turut mencadangkan agar mata pelajaran Sejarah dirombak supaya lebih menarik bagi memastikan pelajar menghargai perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh semua kaum dalam membentuk Malaysia.

Selain itu, beliau berkata adalah penting untuk memperkukuh Pendidikan Sivik bagi membantu pelajar memahami peranan mereka dalam pembangunan negara dan kepimpinan.

“Pendidikan Sivik perlu diberikan penekanan, mendidik pelajar tentang peranan mereka dalam membina masyarakat bersatu padu dan harmoni serta tanggungjawab mereka sebagai pemimpin masa depan. Menggalakkan pengunaan bahasa Melayu, sambil menghargai kepelbagaian budaya Malaysia bagi memperkukuh identiti nasional,” katanya.

Lee turut menekankan kepentingan mendedahkan pelajar kepada pengalaman patriotisme di luar  bilik darjah seperti mengadakan lawatan ke tapak sejarah, tugu peringatan perang dan Parlimen kerana pengalaman ini dapat membantu pelajar menghubungkan diri dengan sejarah serta pentadbiran negara.

"Selain itu, program seperti inisiatif  Adopt-a-Village, dengan pelajar bandar melawat komuniti luar bandar, dapat membantu merapatkan jurang antara latar belakang yang berbeza dan mewujudkan rasa kebersamaan lebih kuat terhadap negara," katanya.

Bagi memupuk semangat patriotisme dalam aktiviti harian sekolah, Lee mencadangkan agar sekolah menjemput veteran, aktivis atau pemimpin komuniti untuk berkongsi pengalaman mereka dalam berkhidmat kepada negara sekali gus memberikan inspirasi kepada pelajar dengan cerita kehidupan sebenar mengenai dedikasi dan pengorbanan.

Beliau berkata dalam era digital, patriotisme juga perlu diterima melalui teknologi dan media sosial sambil menggalakkan pelajar untuk mencipta kandungan positif dalam talian, yang mempromosikan pencapaian Malaysia, kepelbagaian budaya, dan perpaduan.

“Selain itu, mendidik pelajar tentang bahaya berita palsu dan naratif yang memecahbelahkan akan membantu mereka menjadi warganegara digital yang bertanggungjawab dan memelihara keharmonian negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan