DUNIA

Gempa Bumi Myanmar: Korban Di Bangkok Meningkat Kepada 17 Orang, Usaha Menyelamat Diteruskan

30/03/2025 03:30 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 30 Mac (Bernama) -- Angka korban akibat gempa bumi di Myanmar yang turut dirasai di Bangkok pada Jumaat meningkat kepada 17 orang, dengan 32 lagi cedera manakala lebih 70 masih hilang.  

Menurut Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok (Erawan Centre), kebanyakan kematian berlaku akibat runtuhan bangunan Pejabat Audit Negara di Daerah Chatuchak, dengan 10 mayat ditemukan.  

“Setakat 8 pagi ini (Ahad), seramai 10 mangsa maut dalam runtuhan bangunan itu,” menurut pusat terbabit dalam satu kenyataan.  

Selain itu, satu kematian dilaporkan masing-masing di lokasi lain termasuk runtuhan kren di Persimpangan Bang Pho, tapak pembinaan di Ram Intra 64, kondominium Metropolis Sukhumvit 39, Witthayu Complex Condominium di Jalan New Phetchaburi, serta beberapa bangunan lain.  

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt memaklumkan pasukan penyelamat mengesan tanda-tanda mangsa masih hidup di tapak runtuhan Pejabat Audit Negara dan usaha menyelamat sedang diperhebatkan dengan bantuan pakar antarabangsa.  

“Kami melakukan segala yang termampu dengan sokongan rakan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat dan China, yang menyediakan peralatan tambahan.

"Masih ada harapan dan kami bertekad untuk mencari mangsa yang terselamat,” katanya.  

Dalam perkembangan berkaitan, Chadchart mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan bajet bantuan awal sebanyak 200 juta baht (US$5.9 juta) bagi operasi menyelamat dan kos berkaitan.  

“Panduan terperinci mengenai pampasan dan sokongan akan diumumkan tidak lama lagi. Kami komited untuk menyalurkan bantuan dengan cepat serta mengikut garis panduan undang-undang,” katanya.  

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengarahkan Jabatan Kerja Raya dan Perancangan Bandar untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung runtuhan bangunan Pejabat Audit Negara.  

Siasatan itu akan meneliti reka bentuk bangunan, pihak yang meluluskan pembinaan, serta sebarang kemungkinan kecuaian yang menyumbang kepada kejadian itu.  

Bangunan baharu Pejabat Audit Negara yang sedang dalam pembinaan di Daerah Chatuchak, berhampiran Stesen Bang Sue Grand, runtuh susulan gempa bumi di Myanmar yang turut menyebabkan gegaran kuat di Bangkok.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan