AM

Malaysia, Thailand Ketuai Misi Kemanusiaan Ke Myanmar Pada 5 April

30/03/2025 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Thailand akan mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar pada 5 April, susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada Jumaat hingga mengorbankan lebih 1,600 nyawa.  

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa akan mengetuai delegasi dalam lawatan berkenaan.

Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama selepas Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad, yang diadakan bagi membincangkan langkah susulan bencana yang menjejaskan Myanmar dan Thailand.  

Dalam mesyuarat itu, para menteri bersetuju bahawa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN dan Thailand akan mengetuai usaha ini sebagai tanda sokongan kepada Myanmar.  

Terdahulu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan bertujuan menyampaikan rasa solidariti dan keprihatinan Malaysia kepada rakyat Myanmar serta menyelaras bantuan tambahan berdasarkan keperluan di lapangan.

Mohamad mempengerusikan mesyuarat itu menerusi sidang video, yang turut dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN atau wakil mereka serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai pemerhati.  

Dalam ucapan pembukaannya, Mohamad merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan mengulangi komitmen bersama ASEAN untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada kedua-dua negara yang terjejas.

Beliau berkata ASEAN akan bekerjasama rapat dengan Myanmar dan Thailand dalam menyokong usaha bantuan, berdasarkan keutamaan yang telah dikenal pasti.  

"ASEAN juga mesti menyeru rakan-rakan antarabangsa dan masyarakat global untuk berdiri bersama kita dalam saat krisis ini. 

“Kami mengalu-alukan semua bentuk bantuan yang boleh membantu meringankan penderitaan dan mempercepatkan usaha pemulihan.  

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama dengan mekanisme ASEAN yang berkaitan, khususnya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan," katanya.  

Sementara itu, Mohamad mengalu-alukan tindakan pantas ASEAN melalui AHA Centre dalam menyokong usaha bantuan segera.  

"Bekalan bantuan trauma dari pusat logistik kami sudah dihantar ke Myanmar dan kami akan terus menilai serta memberi respons terhadap keperluan mendesak di lapangan," katanya.  

Beliau turut menegaskan kesiapsiagaan Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT) untuk digerakkan segera, selaras dengan pemantauan berterusan terhadap keadaan semasa dan keperluan operasi bantuan.

Beliau menambah bahawa komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan turut dibuktikan dengan penghantaran pantas sumber negara.  

Pada pagi ini, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Naypyidaw membawa 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta peralatan penting untuk menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Penghantaran itu diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon.

Dalam mesyuarat pada Ahad, Malaysia menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan keganasan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa halangan, serta demi keselamatan para petugas kemanusiaan.

Seruan itu turut disokong oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN yang lain.

"Demi kepentingan rakyat Myanmar, saya menggesa semua pihak di Myanmar untuk bersatu dan bekerjasama dalam usaha pemulihan serta pembinaan semula.  

"Saya juga menyeru semua pihak di Myanmar untuk bekerjasama dengan Pengerusi ASEAN dan Negara-Negara Anggota lain ke arah sebuah Myanmar yang aman, stabil dan makmur.

"Keluarga ASEAN akan terus berdiri teguh dan bekerjasama dengan anda ke arah matlamat ini," katanya.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan