DUNIA

Lebih 400 Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Anjuran Suruhanjaya Tinggi Di Singapura

31/03/2025 05:39 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 31 Mac (Bernama) -- Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Isnin dihadiri lebih 400 tetamu, termasuk dalam kalangan ahli politik, perwakilan asing, komuniti perniagaan serta diaspora Malaysia yang menetap di republik itu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata sambutan meriah di Rumah Malaysia itu dijayakan dengan kerjasama warga kerja Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan) Singapura.

“Kami semua bergotong-royong menyiapkan juadah yang dihidangkan kepada tetamu hari ini dengan semangat ingin memperkenalkan budaya sambutan Hari Raya di Malaysia kepada khalayak di Singapura.

Saya harap semangat kebersamaan yang ada sempena sambutan ini dapat diteruskan dalam menjalankan tugas dan amanah demi negara yang tercinta,” katanya kepada Bernama.

Tetamu kenamaan yang hadir termasuk Menteri Negara Kanan Singapura (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East Mohd Fahmi Aliman, dan Speaker Parlimen Singapura Seah Kian Peng.

Sementara itu,  Pengerusi Perwakilan Singapura Datin Che Norhayati Soib berkata persiapan untuk rumah terbuka tahun ini dibuat lebih awal termasuk dari aspek penyediaan bahan masakan, hiasan dan susur atur di Rumah Malaysia.

Che Norhayati, yang juga isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura berkata juadah seperti rendang, sate, serta lemang disediakan sendiri tanpa khidmat katering. 

“Seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, rendang saya akan masak sendiri. Tahun ini, sate dan lebih 100 batang lemang kami bakar sendiri di halaman Rumah Malaysia,” katanya yang menyambut Aidilfitri buat kali keempat di Singapura.

Selain itu, beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga meneruskan tradisi mengagihkan mangkuk tingkat yang mengandungi rendang serta lemang kepada orang-orang kenamaan termasuk menteri di Singapura dan Masjid Ba'alwie.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan