AM

mySalam Luas Perlindungan Liputi 50 Penyakit Kritikal Termasuk Penyakit Jarang Jumpa

09/04/2025 10:33 AM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Skim perlindungan takaful nasional mySalam yang disediakan secara percuma kepada golongan B40 kini diperluas meliputi 50 jenis penyakit kritikal berbanding 45 jenis sebelum ini.

Ketua Skim mySalam Great Eastern Takaful Bhd Syuhaib Ithnin berkata penambahbaikan itu turut merangkumi perlindungan untuk penyakit jarang jumpa, menjadikan ia skim takaful pertama di Malaysia yang menyediakan bantuan kewangan kepada individu didiagnosis dengan penyakit berkenaan.

Selain perlindungan penyakit jarang jumpa, pertambahan manfaat perlindungan kini juga meliputi penyakit gangguan mental seperti skizofrenia dan bipolar, penyakit darah termasuk talasemia major dan anemia aplastik, penyakit kulit kronik seperti psoriasis dan pemfigus vulgaris, serta penyakit reumatoid seperti artritis reumatoid.

“Dengan peluasan perlindungan mySalam kepada lebih banyak penyakit kritikal, ia membuktikan komitmen tinggi kami dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada golongan rentan.

“Perlindungan penyakit jarang jumpa yang diberikan ini juga memberikan akses rawatan lebih baik kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skim mySalam adalah perlindungan takaful di bawah seliaan Kementerian Kewangan dengan pembiayaan Tabung Amanah mySalam dan pengurusannya dikendalikan sepenuhnya oleh Great Eastern Takaful Bhd.

Sejak dilancarkan pada 2019, Syuhaib berkata mySalam memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada rakyat yang menghidap penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.

Skim itu menawarkan bantuan sekali bayar sebanyak RM8,000 kepada individu yang didiagnosis dengan penyakit kritikal dan layak menerima manfaat elaun hospital harian sebanyak RM50 hingga 14 hari setahun, dengan jumlah maksimum RM700 setahun.

Beliau berkata hingga 31 Dis 2024, mySalam membuat pembayaran tuntutan berjumlah RM1.1 bilion dan membantu lebih 1.6 juta rakyat.

“Sehingga kini, terdapat 143 kios mySalam di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara untuk memberikan bantuan secara bersemuka,” katanya.

Individu yang layak digalakkan untuk menyemak kelayakan dan mengemukakan tuntutan melalui www.mysalam.com.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan