MELAKA, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyasarkan lebih 4,000 penyertaan dari seluruh negara bagi Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pertandingan anjuran kerajaan negeri melalui Institut Tun Perak (ITP) itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM36,000.
"Lima kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan bukan Melayu serta awam dengan pendaftaran penyertaan bermula hari ini hingga 7 Ogos.
"Proses penghantaran video pidato juga dalam tempoh berkenaan dan kemuncak adalah pertandingan akhir yang dijangka diadakan pada 11 Sept di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh," katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengurus Besar ITP Hazzlan Sama.
Mengulas lanjut, Ngwe berkata pada tahun ini terdapat perubahan iaitu penyertaan berpasangan atau bergandingan untuk kategori sekolah rendah dan menengah ditukar kepada individu bagi menaikkan nilai prestij serta kualiti peserta di peringkat sekolah.
Beliau berkata johan bagi setiap kategori bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000) manakala tempat ketiga (RM1,000) berserta piala iringan, buku dan sijil penyertaan serta dua hadiah saguhati masing-masing RM500.
"Lebih menarik pihak penganjur juga menambah nilai hadiah kepada juara keseluruhan iaitu RM1,000.
"Sebanyak 40 juri akan menilai kesemua video yang dihantar bagi peringkat saringan manakala tujuh juri akan mengadili peserta yang terpilih ke peringkat akhir," katanya menambah tahun lepas penyertaan yang diterima sangat menggalakkan dengan keseluruhan 3,755 peserta.
Sementara itu, Rahmad berkata pihaknya turut menggalakkan penyertaan pelajar sekolah dan IPT di Melaka dalam usaha memberi pendedahan kepada generasi muda untuk lebih memahami peranan Rukun Negara sebagai asas penyatuan dan jati diri rakyat Malaysia.
"Ini membuktikan bahawa Rukun Negara memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat. Pertandingan ini juga satu inisiatif untuk menyemai dan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap prinsip Rukun Negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial