AM

Bekas KP MSN Mazlan Ahmad Meninggal Dunia

14/04/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Arena sukan tanah air kehilangan seorang tokoh penting apabila bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad, meninggal dunia pada usia 75 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, petang ini.

Anak Allahyarham, Saiful Ezane ketika dihubungi Bernama, memaklumkan bahawa Mazlan dimasukkan ke PPUM sejak Jumaat lepas akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 4.20 petang.

Mazlan, yang menerajui MSN dari 1993 hingga 2005 dikenang sebagai arkitek utama di sebalik kejayaan Program Jaya ‘98 dan Gemilang 2001 iaitu dua inisiatif yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Sepanjang 12 tahun perkhidmatannya, Mazlan memperkenalkan pelbagai dasar pembangunan sukan jangka panjang, termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkasakan sokongan sains sukan kepada atlet elit.

Allahyarham turut pernah memegang jawatan penting dalam beberapa badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan menjawat peranan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2001.

Allahyarham dianugerahkan penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan