AM

Tun Abdullah Kukuh Imej Malaysia Sebagai Negara Islam Progresif - Tun Wan Junaidi

14/04/2025 09:43 PM

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Pendekatan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan gagasan Islam Hadhari telah memperkukuh imej Malaysia sebagai negara Islam yang progresif dan sederhana di mata dunia.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, Allahyarham telah memperkenalkan pelbagai dasar dan pendekatan yang membawa perubahan besar kepada negara.

“Antara sumbangan terpenting beliau ialah pengenalan gagasan Islam Hadhari yang menekankan pembangunan menyeluruh masyarakat Islam, dengan menyeimbangkan kemajuan rohani dan jasmani,” katanya dalam ucapan takziah menerusi akaun rasmi Facebook Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Beliau berkata pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara. Allahyarham dikenang sebagai seorang negarawan ulung yang telah mencurahkan khidmat bakti dengan penuh dedikasi, kesantunan dan prinsip kepimpinan berteraskan nilai murni.

“Di bawah kepimpinan beliau juga, penekanan terhadap tadbir urus baik, pembangunan insan, dan toleransi antara kaum serta agama terus diperkasakan. Sikap beliau yang sederhana, berjiwa rakyat dan berhemah tinggi sentiasa menjadi teladan kepada pemimpin generasi kini dan akan datang,” tambahnya.

Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di IJN pada 7.10 malam dan perkara itu disahkan oleh menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009 berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan