IPOH, 15 April (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan terkemuka negara apabila mencatat 97 peratus kadar kebolehpasaran graduan tahun lepas.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kadar kebolehpasaran graduan itu meningkat 1.7 peratus berbanding 95.3 peratus pada 2023.
Beliau berkata pencapaian itu antara yang tertinggi bagi universiti berkenaan dalam tempoh lima tahun dan ia membuktikan trend positif serta komitmen berterusan universiti dalam meningkatkan kualiti siswazahnya.
Md Amin berkata berdasarkan data Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), kadar bekerja siswazah UPSI turut mencapai 97.4 peratus sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan universiti dalam melahirkan lulusan yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa.
"Peningkatan ini bukan sahaja mengatasi kadar kebangsaan bahkan menunjukkan komitmen UPSI dalam memperkukuhkan pendekatan berteraskan industri, selain memastikan keseimbangan antara teori dan amalan dalam setiap program pengajian yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencapaian cemerlang itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UPSI yang sentiasa berinovasi dalam melaksanakan kurikulum dinamik, memperluas jaringan kolaborasi strategik bersama industri, serta memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Md Amin berkata kadar kebolehpasaran dan kadar bekerja yang tinggi jelas menunjukkan lulusan UPSI bukan sahaja memiliki asas akademik yang kukuh malah dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan nilai profesional yang tinggi, sejajar dengan kehendak pasaran kerja masa kini.
Tambah beliau UPSI akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam bidang pendidikan dengan fokus kepada pembangunan holistik pelajar, penyelidikan berkualiti tinggi, serta keterlibatan komuniti yang mampan.
Md Amin berkata pencapaian berkenaan juga mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai destinasi utama bagi pelajar yang ingin membina kerjaya dalam bidang pendidikan serta pelbagai sektor lain yang memerlukan tenaga kerja berkepakaran tinggi dan beretika.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial