AM

Projek Di DUN Ayer Kuning Lulus Sebelum PRK - MB Perak

16/04/2025 04:26 PM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Projek pembangunan dan infrastruktur yang sedang berjalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diluluskan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata sebagai contoh, kelulusan bagi projek penyuraian trafik di pekan Tapah telah dilakukan ketika Allahyarham Ishsam Shahruddin masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning.

Saarani berkata secara kebetulan pelaksanaan projek berkenaan dilakukan sekarang, mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 April ini.

Beliau berkata Ishsam juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan masjid, surau dan sekolah agama rakyat di kawasan diwakilinya menerusi surat bertarikh 20 Feb lepas, iaitu dua hari sebelum Ishsam meninggal dunia.

“Saya hanya sempat membuka surat itu pada 24 Feb, jadi saya tidak sampai hati untuk tidak meluluskannya kerana itu permohonannya sebelum dia meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Kecemasan, Bantuan Baucar Buku di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata demikian ketika ditanya mengenai amaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua pihak berkaitan tidak boleh menggunakan jentera atau peruntukan kerajaan bagi tujuan kempen, selepas proses penamaan calon.

Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir ketika ditemui pada program Jualan Sejahtera Rakyat Ayer Kuning berkata beliau tetap yakin mampu meraih kemenangan walaupun ketiadaan jentera dan peruntukan kerajaan.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon PSM Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 April sebagai hari mengundi bagi PRK itu manakala pengundian awal pada 22 April ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan