AM

Jambatan Bailey Akan Ganti Sementara Jambatan Sungai Liat Yang Runtuh - Exco

21/04/2025 02:18 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Sebuah jambatan Bailey akan dibina bagi menggantikan sementara Jambatan Sungai Liat yang runtuh pagi semalam, bagi menghubungkan semula laluan keluar masuk ke Felda Residence Hot Spring, Kampung Orang Asli Sungai Tisong dan Buyong Mas Sanctuary Campsite dekat Sungkai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerja-kerja pembinaan jambatan sementara yang menelan kos kira-kira RM1 juta itu bermula hari ini dan dijangka siap pada 29 April.

“Pembinaan jambatan Bailey ini adalah bagi menggantikan Jambatan Sungai Liat (Sungkai) yang runtuh sebelum ini. Ia merupakan laluan sehala yang boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan biasa, termasuk lori yang membawa muatan sawit di kawasan terjejas.

“Langkah ini adalah penyelesaian terbaik bagi memastikan gangguan hubungan ke kawasan terlibat tidak berlarutan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Semalam, Jambatan Sungai Liat dilaporkan runtuh, sekali gus menyebabkan laluan keluar masuk ke Felda Residence Hot Spring, Kampung Tisong dan Buyong Mas Sanctuary Campsite terputus sepenuhnya.

Kejadian itu turut mengakibatkan 136 individu, termasuk 81 pelajar sebuah politeknik, terkandas di ketiga-tiga lokasi berkenaan.

Sementara itu, Mohammad Nizar memaklumkan bahawa setakat ini tiada kejadian luar jangka berlaku di kawasan terjejas, manakala seramai 536 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tisong telah dipindahkan ke Pusat Transit Orang Asli Sungkai.

“Ketika ini, hanya 95 pengunjung masih terkandas di Felda Residence Hot Spring. Namun semuanya berada dalam keadaan baik dan segala keperluan seperti makanan serta minuman disediakan pihak pengurusan Felda Residence,” katanya.

Mengulas punca kejadian, beliau berkata terdapat hakisan yang dikenal pasti berlaku sehingga menjejaskan struktur jambatan terbabit.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, jambatan tersebut perlu dinaik taraf kepada jambatan ‘single span’ bagi membolehkan aliran air yang lebih lancar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan