SUNGKAI, 22 April (Bernama) -- Jambatan Bailey yang akan dibina menggantikan sementara Jambatan Sungai Liat yang runtuh pada 20 April, dijangka boleh digunakan 30 April ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata jambatan sepanjang 46 meter itu akan mula dibina esok dan dijangka siap pada 27 April, namun struktur jalan menuju ke jambatan perlu diperbaiki terlebih dahulu.
“Kita harap ia akan dapat disiapkan seperti jangkaan kita, memandangkan jambatan itu digunakan setiap hari oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi runtuhan di Felda Sungai Klah, di sini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin.
Pada 20 April, Jambatan Sungai Liat dilaporkan runtuh sekali gus menyebabkan laluan keluar masuk yang menghubungkan Felda Residence Hot Spring, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Campsite terputus.
Kejadian itu turut mengakibatkan 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik di ketiga-tiga kawasan terbabit, terkandas.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebuah jambatan Bailey akan dibina bagi menggantikan sementara jambatan tersebut.
Ahmad berkata sebuah jambatan kekal dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta akan dibina di lokasi tersebut.
Sementara itu Salina berkata pihaknya berharap jambatan itu dapat disiapkan seperti dijangka, memandangkan buat masa ini penduduk di kawasan terjejas terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke pekan Sungkai.
“Bagaimanapun laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer itu perlu melalui jalan kebun sawit, selain hanya boleh dilalui atau digunakan oleh mereka yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda sahaja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial