ALOR SETAR, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 16,116 tiket feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi serta sebaliknya telah terjual sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei depan.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata jumlah itu merangkumi pembelian secara dalam talian dan juga menerusi kaunter tiket yang disediakan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 31 perjalanan masuk dan keluar dari Langkawi disediakan setiap hari sepanjang tempoh lima hari LIMA’25 berlangsung, menjadikan jumlah keseluruhan perjalanan feri sebanyak 155.
“Kami mampu membawa seramai 15,000 penumpang setiap hari sepanjang tempoh itu, menjadikan anggaran keseluruhan 75,000 penumpang membanjiri pameran LIMA’25,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jabatan Laut Malaysia (JLM) turut meluluskan operasi feri dari 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh pameran itu berlangsung.
Norhafiz berkata, JLM turut membenarkan perjalanan feri sehingga 12 tengah malam, namun sebarang tambahan perjalanan adalah bergantung kepada permintaan dan jumlah penjualan tiket.
“Feri tidak menghadapi masalah untuk beroperasi secara optimum, namun apa yang dibimbangi oleh nakhoda adalah risiko perjalanan pada waktu malam yang lebih tinggi. Justeru, kesiapsiagaan operasi malam akan terus dipertingkat dengan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, kerja-kerja pengerukan di laluan keluar masuk Kuala Perlis dijangka selesai sebelum LIMA’25 berlangsung, manakala kerja-kerja sama di Kuala Kedah masih giat dijalankan.
“Bagi menangani isu lebihan kapasiti di terminal penumpang, kami telah bekerjasama dengan JLM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas keselamatan bagi mengawal keadaan jika berlaku kesesakan di terminal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial